FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS hanya akan memeriksa telefon bimbit individu tertentu sekiranya wujud syak wasangka munasabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya diberi peruntukan undang-undang untuk melakukan pemeriksaan termasuk ketika melakukan siasatan kes tertentu.

“Sebagai contoh bagi kes culik jika medium digunakan adalah telefon bimbit, polis boleh melakukan pemeriksaan terhadap mana-mana pihak disyaki.

“Ini termasuk pemeriksaan terhadap alat peranti individu yang berada di lokasi sensitif iaitu mempunyai ancaman pengganas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, semua pegawai dan anggota bertugas diarahkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan pemeriksaan atau merampas telefon bimbit.

“Mereka (pegawai dan anggota polis) perlu membuat laporan polis bagi memastikan pemeriksaan dilakukan atas sebab tugas rasmi.

“Jika mana-mana individu tidak berpuas hati, mereka boleh membuat laporan polis atau kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Setakat ini, belum ada sebarang aduan atau laporan diterima berhubung perkara itu,” katanya.

Huzir mengulas perkara itu susulan penerangan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hak menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain serta negara ketika sesi jawab lisan Persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Azis memberitahu perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang bertanyakan sama ada terdapat laporan pelanggaran SOP dilakukan terhadap pihak polis ketika menyemak telefon bimbit orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 7:18 PM