Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama melakukan (R&D) bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MALAYSIA dan Singapura bersetuju bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

Persetujuan itu dicapai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) Yeo Bee Yin dan rakan sejawatannya dari Singapura Masagos Zulkifli, ketika program Pertukaran Lawatan Tahunan (AEV) selama dua hari berakhir Jumaat lalu.

Singapura menjadi tuan rumah kepada AEV tahun ini, yang juga satu saluran bagi Kementerian Alam Sekitar kedua-dua negara membincangkan dan menangani isu alam sekitar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MESTECC, Yeo dan Masagos melahirkan kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah dan hutan di rantau ini, yang menjejaskan rakyat Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua menteri mengambil maklum mengenai perkembangan dilakukan Negara Anggota ASEAN dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan dan menggesa semua pihak memperbaharui komitmen mereka dalam melaksanakan Perjanjian ASEAN berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Selain Yeo, delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) MESTECC, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, pegawai kanan MESTECC, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan lain.

Singapura disertai Setiausaha Tetap Albert Chua dan pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura serta agensi kerajaan lain.

Sejak 1979, AEV memudahkan perhubungan dan kerjasama antara kedua-dua kementerian berkaitan isu alam sekitar melalui komitmen jangka panjang dan penyelarasan tindakan.

Kedua-dua menteri juga berbincang mengenai bidang kerjasama baharu seperti perubahan iklim, pengurusan sisa termasuk plastik dan pembungkusan, ekonomi sekitar semula, pencemaran industri dan keselamatan radiasi serta bidang kerjasama lain yang bersesuaian.

Ketika AEV itu, menteri terbabit turut melihat semula kemajuan dicapai Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) yang bermesyuarat pada 14 November lalu.

Antara lain, mereka juga bertukar pandangan berkaitan kawalan pelepasan emisi kenderaan.

Menteri terbabit maklum mengenai kerjasama bilateral bagi mengurangkan pelepasan emisi merbahaya kenderaan, bagi mencapai tahap kualiti udara lebih baik di kedua-dua negara.

Mereka menggalakkan kedua-dua negara untuk terus bertukar informasi berkaitan polisi dan mengenalpasti amalan terbaik dalam mengawalnya.

Yeo turut melawat Pusat Penyelidikan Iklim Singapura yang menjalankan kajian kepelbagaian iklim tropika dan perubahannya serta sistem cuaca yang berkaitan di Singapura dan rantau ASEAN.

AEV pada tahun depan akan diadakan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 10:57 PM