AZMIN. FOTO Bernama
Mohd Husni Mohd Noor


MESYUARAT Biro Politik PKR yang bermesyuarat, hari ini, memutuskan tidak mengambil sebarang tindakan disiplin kepada Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali buat masa ini susulan isu pertemuan sulit bersama Ahli Parlimen UMNO, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti masih menantikan maklumat lanjut daripada Azmin susulan itu itu.

“Kita nantikan maklumat penuh daripada beliau (Azmin) memandangkan beliau tak hadir, maka kena tunggu untuk maklumat lanjut.

“Buat masa ini, parti juga tidak meminta beliau memberi surat tunjuk sebab,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada mesyuarat malam ini adalah Anwar, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Ditanya sama ada Azmin dianggap melampaui batas susulan pertemuan sulit itu, Fahmi berkata, pihaknya masih terbuka terhadap sebarang penjelasan daripada Azmin.

“Kita masih perlu mendapatkan penjelasan daripadanya sendiri dan kita masih menunggu,” katanya.

Adakah beliau (Azmin) masih perlu memberi penjelasan, Fahmi berkata, pihaknya mahu beliau hadir dan memberi penjelasan.

Ditanya tempoh diberikan kepada Azmin untuk tampil memberi penjelasan, Fahmi kemudian memaklumkan, pihaknya tidak menetapkan tempoh masa untuk perkara itu.

Mengenai gesaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) supaya Azmin hadir memberi penjelasan mengenai perkara itu hari ini, Fahmi berkata, “Dia (Azmin) sepatutnya datang setiap mesyuarat.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:08 PM