Sharzede Datu (lapan dari kiri) pada majlis malam media 2019, Pesona Santubong di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Salhani Ibrahim


LEMBAGA Pelancongan Sarawak (STB) mengetengahkan legenda setempat dalam kempen tahun melawat Sarawak sebagai satu promosi lain daripada lain bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, sebelum ini tarikan pelancongan ke negeri itu lebih kepada produk fizikal.

“Namun kali ini kita tampilkan kelainan dengan membawa cerita legenda kepada pelancong.

“Kebanyakan mereka (pelancong) termasuk rakyat negara ini kurang mengetahui legenda Sarawak.

“Antaranya ialah Puteri Sentubung dan Puteri Sejinjang yang turun dari kayangan untuk menjaga keamanan Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning.

“Sebelum ini, mereka (pelancong) hanya mengetahui gunung Santubong saja. Jadi kita bawah elemen mistikal untuk tarik pelancong ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis malam media 2019, Pesona Santubong di Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira 100 pengamal media dari pelbagai organisasi diraikan dalam majlis itu yang turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi tanah air, Idayu serta Arja Lee.

Majlis itu diwarnai dengan kostum tradisi dan alunan petikan sape serta keindahan alam semula jadi Bumi Kenyalang yang turut menghiasi dewan dan latar.

Pengamal media juga turut disajikan dengan persembahan teater mengenai kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.

Dalam pada itu, Sharzede Datu berkata, menerusi cogan kata ‘Sarawak, Banyak Untuk Diteroka’ sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, pihaknya menekankan pelbagai strategi bagi menarik minat pelancong luar.

“Antaranya membabitkan pelancongan budaya, pengembaraan, alam sekitar, makanan dan perayaan yang sedia untuk diteroka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:23 AM