Muhammad Hilman selepas mempengerusikan Mesyuarat MPP AMK Malaysia bersama pimpinan AMK Cabang-Cabang seluruh Malaysia di Rumah Pemuda Shah Alam hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir

PERASMIAN Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat akan diteruskan mengikut tradisi dan konvensyen organisasi dengan ucapan dasar oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham berkata, pendirian itu dinyatakan majoriti pimpinan AMK Pusat dan Cabang daripada seluruh negara yang dipilih dalam Pemilihan PKR 2018.

Menurutnya, perasmian itu akan berlangsung 5 Disember ini di MITC Melaka bersama-sama dengan sayap Wanita KEADILAN.

“Seluruh pergerakan dan perwakilan AMK di peringkat nasional, cabang dan ranting akan digerak untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen parti,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman berkata, AMK turut bersetuju mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Kita bermuafakat mempertahankan kestabilan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dr Mahathir daripada sebarang usaha atau langkah yang bertujuan mengganggu gugat kedudukan serta peranan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:36 AM