Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN berani lelaki menunggang motosikal tanpa mempamerkan nombor pendaftaran dari Puchong mengundang padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Bersepadu di kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Zamakhshari Hanipah berkata, lelaki itu antara yang ditahan dalam operasi ini selepas dia menunggang motosikal tanpa mempamerkan nombor pendaftaran di kenderaannya.

Menurutnya, itu antara kesalahan yang dilakukan dalam operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

“Setakat 10.30 malam 451 notis saman dikeluarkan.

“Operasi ini membabitkan tujuh agensi terdiri JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia, PUSPAKOM, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelancongan Seni, Budaya Malaysia (MOTAC) membabitkan 243 orang.


Ops Bersepadu yang diadakan di LRT Bangsar. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Ia diadakan bagi memantau pematuhan undang-undang dalam kalangan masyarakat terhadap peraturan jalan raya ditetapkan,” katanya.

Zamakhshari berkata, 2,569 kenderaan diperiksa dengan notis saman dikeluarkan 451 dan 12 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

“AADK pula memeriksa 27 orang yang mana tujuh daripada mereka positif dadah.

“Sementara lima warga asing terdiri seorang Bangladesh, dua Indonesia dan masing-masing seorang dari India serta Sri Lanka ditahan imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata, MOTAC pula mengeluarkan satu saman kerana tidak menyediakan khidmat pemandu pelancong di dalam bas.

“Dalam operasi ini antara saman yang dikeluarkan JPJ atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) 216, tiada lesen (172), cermin gelap (32), cermin sisi (3), nombor pendaftaran (18) dan lain-lain (10),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:55 AM