AHMAD Zahid dan Narimah. FOTO Aswadi Alias
Sarah Zulkifli


SAKSI keenam kes pecah amanah dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa tertuduh mengarahkannya menebus wang bagi mengeluarkan cek perbankan berjumlah RM17.9 juta daripada yayasan itu.

Pegawai Operasi Bank Affin Cawangan Jalan Bunus, Narimah Miswadi, 47, berkata, arahan cek perbankan untuk dibayar kepada Messrs Lewis & Co dimaklumkan Ahmad Zahid sendiri dalam satu pertemuan di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya pada 16 Jun 2016.

“Surat yayasan itu bertujuan menebus wang dan mengeluarkan cek itu yang kemudian diserahkan kepada juruwang di Affin Bank, Royasmin Mohd Roddy bagi menyediakan Borang Permohonan Kiriman Wang.

“Pada 23 Jun 2016, saya serahkan surat Yayasan Akalbudi itu kepada Royasmin sebelum dia kemudian menyerahkan kembali Borang Kiriman Wang bertarikh 23 Jun tahun sama untuk semakan saya,” katanya ketika membacakan penyataan saksi dalam perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Saksi itu berkata, Ahmad Zahid memberitahunya tujuan pengeluaran wang itu untuk membina bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak.

“Beliau (Ahmad Zahid) menandatangani satu surat menunjukkan tujuan pengeluaran dibuat pada semua akaun simpanan tetap.

“Surat ini dialamatkan kepada Pengurus Cawangan Perkhidmatan Affin Bank Cawangan Jalan Bunus, Maasayu Mohd Ariffin,” katanya yang mendakwa dia turut memohon kelulusan dari Ibu Pejabat Yayasan Akalbudi untuk menggunakan cek perbankan bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co.

Dalam prosiding itu, suasana mahkamah bertukar ceria apabila peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal menyoal mengapa saksi kelihatan gembira dan sering tersenyum apabila melihat Ahmad Zahid yang duduk dalam kandang tertuduh.

AHMAD ZAIDI: Berapa kali kamu berjumpa dia (Ahmad Zahid)?

NARIMAH: Sekali.

AHMAD ZAIDI: Ketika itu dia (Ahmad Zahid) menjawat jawatan apa?

NARIMAH: Timbalan Perdana Menteri.

AHMAD ZAIDI:Gugup atau tidak kali pertama bertemu dengannya?

NARIMAH: Ya (gugup)...sebab pertama kali bertemu.

AHMAD ZAIDI: Kenapa kamu gembira berjumpa dengan Ahmad Zahid?

NARIMAH: Sebab kali pertama berjumpa, beliau ceria dan peramah.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap 47 tuduhan termasuk 12 membabitkan pecah amanah jenayah, rasuah (lapan) serta pengubahan wang haram (27) membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:00 AM