BOMBA memadam kebakaran bangunan berkenaan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


WISMA tiga tingkat Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan yang menjadi pusat latihan wanita dan kedai jual elektrik di Jalan Mahmud di Kota Bharu, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian jam 2 pagi itu disedari orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu yang bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada 2.04 pagi.

Katanya, seramai 37 anggota termasuk pegawai dari Balai Kota Bharu, Kota Darul Naim dan Tanjung bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, kita dapati api marak di bahagian tingkat tiga bangunan dan usaha memadamkan api dijalankan dengan segera.

“Kita berjaya mengawal api dalam masa satu jam dan operasi tamat pada 5.22 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, bangunan terbabit musnah 80 peratus, namun tiada mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu.

Beliau berkata, pasukan forensik masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:56 AM