LEE Lam Thye.

YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan mengkaji saranan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada pelaku jenayah seksual.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenyataan baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor perlu diberi perhatian dengan mengambil kira permasalahan itu yang semakin serius.

Beliau berkata, kebimbangan yang dizahirkan oleh baginda adalah amat berasas serta menggambarkan betapa seriusnya masalah sosial ini.

“Peningkatan kes-kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram akan mendatangkan implikasi yang negatif serta mampu meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat.

“Jenayah seperti ini perlu dibanteras tanpa kompromi kerana ia membawa gambaran yang amat negatif terhadap masyarakat kita dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, MCPF melalui Jawatankuasa Belia, Wanita dan Kanak-Kanak akan terus mempergiat usaha memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat melalui program pencegahan terutamanya di kawasan luar bandar.

Semalam, media melaporkan Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa bimbang dan dukacita dengan masalah jenayah seksual yang semakin berleluasa di Selangor dan mengesyorkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan berkata, kebimbangan itu dizahirkan baginda berikutan jumlah kes yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang membabitkan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram adalah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 9:26 AM