DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP


“JIKA mereka tidak suka saya, mereka boleh cakap secara terang-terang,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberi respons kepada sikap sesetengah Ahli Parlimen sehingga menyebabkan sidang Dewan Rakyat tidak cukup korum.

Tegas Dr Mahathir, beliau sedia dikritik seperti kebiasaannya kerana apabila menjadi pemimpin mesti menjangkakan untuk dikritik.

“Ini (semalam) kali kedua tidak cukup korum. Kita perlu berbincang dengan Ahli Parlimen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, sidang Dewan Rakyat pada satu ketika tertangguh disebabkan tidak mempunyai korum mencukupi.

Dr Mahathir berkata, mereka amat tidak sabar untuk menjadi calon pilihan raya tetapi selepas dipilih tidak bersikap yang mereka serius mahu berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, beliau bersetuju dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan pihak ingin menjadi Perdana Menteri perlu mengikut cara betul.

“Kita bersetuju dengan beliau. Mesti melalui jalan betul,” katanya.

Anwar semalam dilaporkan berkata, pihak yang mahu merebut jawatan Perdana Menteri tidak perlu berpakat dengan kumpulan tertentu atau bermesyuarat secara sulit, sebaliknya perlu mengikut cara yang betul.

“Saya tidak halang sesiapa yang berminat (dengan jawatan Perdana Menteri), tapi ikut jalur biasa. Kalau tidak, nanti kita kena pakat dengan kelompok itu, kelompok ini, mesyuarat sulit sana sini. Jadi tak tumpu kerja,” kata Anwar seperti dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 2:15 PM