LOKASI kejadian mangsa ditikam. FOTO Ihsan pembaca.
Shamsul Munir Safini


LELAKI yang parah ditikam rakan sekerjanya di tempat kerja mereka di Balik Pulau, Selasa lalu selamat menjalani pembedahan di bahagian usus.

Mangsa dikenali Aidil, 24, ditikam rakannya yang juga ketua berusia 27 tahun di dada, dagu dan tangan kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Jafri Mohd Zain berkata, mangsa yang mengalami masalah di bahagian usus, menjalani pembedahan pada 5 petang semalam.

“Pembedahan berlangsung tiga jam itu selesai pada 8 malam sebelum mangsa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang untuk pantauan.

“Mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang kini ditahan reman akan didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, minggu hadapan.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan menikam mangsa selepas berang kerana mangsa dikatakan kerap masuk lewat dan menyebabkan dia melakukan kerja sendirian.

Berita berkaitan

Lelaki tikam rakan dah kena tahan

Tikam rakan lewat masuk kerja

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 4:08 PM