LAPORAN portal berita Harian Metro
NorAkmar Samudin


CALON Perdana Menteri hanya akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan bukannya pakatan menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad selain mengesahkan pendirian Amanah adalah kekal dan tidak pernah terlintas atau berbincang untuk mengadakan sebarang undi tidak percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Khalid berkata, usaha menjatuhkan Dr Mahathir juga adalah mainan politik yang tidak berakhlak dan cubaan untuk melagakan parti komponen PH.

“Kenapa mahu membuat undi tidak percaya PM dan usul ini ditimbulkan golongan tertentu yang mahu menarik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar daripada Pakatan Harapan.

“Saya sudah katakan berkali-kali siapa yang akan menjadi Perdana Menteri akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kerana sebagai satu parti gabungan, keputusan dibuat bersama adalah terpenting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perlawanan akhir Piala Menteri Wilayah Persekutuan sempena Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan.

Khalid berkata, unsur luar PH tidak perlu wujud bagi memporak perandakan gabungan parti.

“Kita tidak memerlukan unsur luar sama ada melalui pertemuan dengan Ahli Parlimen lain mempengaruhi untuk membuat keputusan,” katanya.

Ditanya mengenai khabar angin undi tidak percaya itu, Khalid menyifatkan ia adalah masalah yang sengaja diada-adakan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, masalah sosial dalam kalangan remaja di Kuala Lumpur perlu ditangani secara berhemah memandangkan cara kehidupan golongan ini berbeza.

“Remaja di sini terdedah pelbagai aktiviti tidak sihat seperti minum arak, merokok dan mengambil dadah kerana mudah diperoleh, lebih-lebih lagi dengan perkembangan media sosial.

“Apa yang boleh dilakukan adalah kita sendiri mengadakan program secara ‘reach out’ iaitu mengembangkan lagi minat mereka supaya mempunyai jati diri dan hala tuju. Jika minat sukan atau seni, kita tumpukan mereka ke arah itu,” katanya.

Jelas beliau, pertandingan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan adalah julung kali diperkenalkan dengan penyertaan remaja sekolah yang mempunyai masalah disiplin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 4:48 PM