Lelaki yang didakwa menyamar anggota polis dipegang orang ramai dalam kejadian di Jalan Hilir, Wakaf Bharu di Tumpat malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris


DUA lelaki disyaki menyamar anggota polis sebelum memeras seorang lelaki di Wakaf Bharu di Tumpat malam tadi.

Kedua-duanya yang menaiki sebuah motosikal dikatakan menahan mangsa berusia 21 tahun yang juga menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Hilir, Wakaf Bharu dari tempat kerjanya pada 10.30 malam.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek berusia 26 tahun berjaya ditahan polis selepas dibantu orang awam.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, berdasarkan maklumat mangsa dihampiri motosikal suspek ketika memasuki lorong rumahnya.

“Mereka menahan dan bertindak mencabut suis motosikal mangsa sebelum mengarahkannya mengeluarkan kad pengenalan serta telefon bimbit yang berada dalam poket seluarnya.

“Suspek kemudiannya memperkenalkan dirinya sebagai polis dan menunjukkan gari tetapi ketika mangsa meminta agar ditunjukkan kad kuasa, kedua-dua suspek segera melarikan diri,” katanya.

Ab Rashid berkata, mangsa sempat menolak suspek yang membonceng sehingga terjatuh manakala seorang lagi terus memecut motosikalnya.

Menurutnya, mangsa juga mengalami kecederaan ringan akibat bergelut dengan suspek sebelum dibantu orang ramai menahan lelaki berusia 26 tahun dan berasal dari Kota Bharu itu.

“Suspek ditahan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 November.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Kesiksaan (KK), 170 KK dan 89 Akta Polis atas kesalahan memeras ugut, menyamar sebagai penjawat awam dan memiliki gari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:16 PM