Khairul Najib Asarulah Khan


SERAMAI 141 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan untuk membantu mangsa yang berdepan banjir akibat peralihan monsun timur laut, bulan depan.

Komander SMART Kolonel Mohd Tahar Abdul Razak berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana itu terutama di Pantai Timur Semenanjung.

“Pasukan kami terdiri daripada 11 pegawai dan 130 anggota bersedia digerakkan dalam pada bila-bila masa.

“Malah kita memfokus bantuan kerja menyelamat yang mungkin berlakunya tanah atau bangunan runtuh dan mangsa terperangkap,” katanya ditemui selepas latihan menyelamat dari udara pasukan SMART dengan kerjasama Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PUJBPM) Subang di padang Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, Kuala Selangor, hari ini.


PASUKAN SMART ketika menjalani latihan menyelamat dari udara bersama Unit Udara Bomba JBPM di Kuala Selangor, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.

Latihan itu menggunakan helikopter jenis Agusta AW139 dan Agusta A109E, membabitkan latihan turun dari aras tinggi ‘abseiling’ dan turun dengan pantas ‘fast-roping’.

Mengulas lanjut, Mohd Tahar berkata, setiap anggotanya mempunyai latar belakang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

“Mereka juga sering dilatih selain sentiasa terbabit dalam operasi menyelamat di dalam dan luar negara.

“Dengan kekuatan dan kemahiran serta kelengkapan peralatan agensi pasukan menyelamatkan yang lain kita mampu mengalas tugas berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:25 PM