ZULKIFLI Senteri hadir sebagai saksi pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Sarah Zulkifli


SAKSI ketujuh kes pecah amanah dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini, bahawa beliau tidak mengetahui lokasi pejabat yayasan itu, meskipun memegang jawatan Pengarah dan Ahli Lembaga Amanah.

Malah Zulkifli Senteri, 68, berkata, beliau menandatangani dokumen yang berkaitan penubuhan Yayasan Akalbudi pada 7 Mac 1997 di rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang.

“Terdahulu, pada tahun sama (1997), saya berjumpa dengan Ahmad Zahid di rumahnya dan beliau menawarkan saya untuk menjadi pengarah di yayasan berkenaan.

“Ketika itu, saya hanya bersetuju, namun tiada penerangan apa-apa diberikan Ahmad Zahid berhubung pelantikan itu,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari keempat perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 tuduhan.

Ia termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Menurut Zulkifli yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik) Binary University, sepanjang 15 tahun memegang jawatan di Yayasan Akalbudi, beliau tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat agong tahunan (AGM).

“Selain itu, sebagai pengarah di yayasan, saya tidak pernah menandatangani cek milik yayasan serta berbincang dengan Ahmad Zahid berhubung aktiviti dilaksanakan yayasan.

“Saya juga tidak tahu sama ada akaun Yayasan Akalbudi pernah diaudit atau tidak, selain tidak mengetahui yayasan mempunyai dana berjumlah jutaan ringgit,” katanya.

Saksi sama berkata, perkara itu berterusan sehingga beliau meletak jawatan sebagai pengarah pada 4 April 2012 dengan menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan Ahmad Zahid.

“Surat peletakan jawatan itu bukan disediakan oleh saya sendiri, namun saya tandatangannya di rumah saya di Bandar Baru Bangi.

“Selepas itu, saya serahkan semula surat itu kepada pemandu Ahmad Zahid ,” katanya.

Ketika disoal peguam bela Datuk Ahmad Zaidi Zainal dalam sesi soal balas Zulkifli memberitahu mahkamah, beliau tidak tahu sumbangan dana diterima oleh Yayasan Akalbudi datangnya 100 peratus daripada tertuduh.

Bagaimanapun, beliau mengakui 90 peratus daripada dana yayasan itu disumbangkan Ahmad Zahid.

Sementara itu, dalam prosiding pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, Zulkifli memaklumkan status hak pemilik wang dalam yayasan Akalbudi.

LEE: Wang yang dimasukkan ke dalam akaum Yayasan Akalbudi dikatakan bercampur dengan wang peribadi Ahmad Zahid. Pada fahaman kamu, duit itu milik siapa?

ZULKIFLI: Setahu saya, ia milik yayasan.

LEE: Bolehkah wang dalam yayasan Akalbudi dikeluarkan sewenang- wenangnya?

ZULKIFLI: Jika ikut peraturan, tidak boleh.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah turut diberitahu sembilan cek keseluruhannya berjumlah RM72,621.13 dikeluarkan kepada Maybank untuk membayar kad kredit Visa Platinum milik Ahmad Zahid, kad kredit MasterCard Gold serta American Express (AMEX).

Naib Presiden Maybank yang bertanggungjawab dalam proses kebenaran kad kredit dan pengurusan penipuan, Anoop Singh Gulzara Singh, 46, dalam penyataan saksi berkata, bayaran itu dibuat antara 19 Februari 2014 dan 9 Julai 2015.

Beliau juga memberikan keterangan selain dari Kuala Lumpur, Ahmad Zahid juga menggunakan kad kreditnya di Kiev, Ukraine dan Seoul, Korea.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 2 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:30 PM