TUAN Ibrahim bercakap kepada media di lobi Parlimen, hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Husni Mohd Noor


“KITA mengalu-alukan rombakan Kabinet dan lagi segera lagi baik,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rancangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melakukan rombakan Kabinet, tahun hadapan.

Ditanya siapa menteri patut digugurkan daripada Kabinet, Tuan Ibrahim berkata: “Menteri Kewangan.”

“Hari ini orang buat survey pun dalam talian dan sudah beribu mahu Menteri Kewangan ditukar.

“Kenyataan Menteri Kewangan asyik menyalahkan kerajaan lama, ini sudah hampir dua tahun masih menyalahkan kerajaan lama.

“Saya fikir mana-mana kerajaan kita ambil alih dan terpaksa membiayai dan fokus kepada masa depan. Kita akui kelemahan kerajaan sebelum ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir semalam memberi gambaran akan berlaku rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Difahamkan, rombakan Jemaah Menteri itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, rombakan Kabinet itu juga harus mengambil kira bahawa Kerajaan PH yang terdiri daripada lima parti komponen.

Berita berkaitan

'Rombakan Kabinet mungkin sebelum APEC tahun depan - Dr Mahathir'

'Kabinet dirombak? [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:34 PM