CHAN (lima dari kiri) dan Rashid (tujuh dari kiri) bersama jawatankuasa APPG selepas mesyuarat di Bangunan Parlimen, semalam.
Yusmizal Dolah Aling


KUMPULAN Parlimen Semua Parti (APPG) Rangka Kerja Perundangan dan Advokasi Pelarian di Malaysia yang bermesyuarat semalam menjadi titik mula kepada usaha untuk membantu pelarian di negara ini menerusi saluran betul.

Berbekalkan fokus utama untuk memastikan setiap isu pelarian mendapat pembelaan sewajarnya, ia menghimpunkan pandangan ahli jawatankuasa terdiri daripada pelbagai latar belakang politik di negara ini untuk mencari solusi terbaik menangani sebarang masalah timbul.

Pengerusinya, Chan Ming Kai berkata, bagi peringkat permulaan, jawatankuasa akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu keselamatan dan sebagainya untuk mengenalpasti kaedah perundangan khusus kepada pelarian.

Beliau berkata, ia adalah isu pokok kerana sebelum ini tiada peruntukan peraturan khas bagi pelarian di negara ini menyebabkan pelbagai isu tidak dapat ditangani seperti pendidikan, keselamatan, kesihatan dan pekerjaan yang tidak pernah selesai.

“Saya rasa buat permulaan, kami akan dapatkan pandangan kementerian mengenai apa yang sudah dan perlu ditambah kerana ia perkara paling asas sebelum kami teruskan dengan isu lain.

“Ia penting kerana dengan adanya perundangan, baru kami boleh melihat isu lain yang sudah pun digerakkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan terbabit nanti,” katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Antara yang menganggotai jawatankuasa itu termasuk Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, Datuk Hasbullah Osman (Grik), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, dengan adanya APPG itu, ia membuka lembaran baru kepada aspek kemanusiaan kepada pelarian di negara ini khususnya Rohingya yang berterusan ditindas dan mempunyai kemampuan terhad untuk meneruskan hidup kerana kekangan perundangan.

Beliau berkata, ia adalah usaha sangat murni kerana sebelum ini NGO mempunyai limitasi untuk menggerakkan pelbagai inisiatif bantuan kepada pelarian ketika mereka terhimpit dengan isu utama iaitu perundangan.

“Hari ini kita dapat lihat kerjasama antara ahli parlimen semua parti yang memberikan pandangan senada dalam usaha kemanusiaan.

“Semoga ini akan memberikan kemudahan dalam urusan membela nasib pelarian secara rasmi tanpa sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.

Isu mengenai pekerjaan secara sah kepada pelarian dibangkitkan Ahmad Tarmizi di Dewan Rakyat Isnin lalu yang meminta penjelasan Kementerian Sumber Manusia mengenai perkara itu.

Sebagai maklum balas, menteri berkaitan, M Kulasegaran yang menegaskan bahawa pihaknya mengambil maklum perkara itu dan keputusan muktamad mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 9:55 PM