BAHAN memproses ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Industri Bolton, Batu Caves. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menyerbu premis dijadikan tempat memproses ketum di Taman Industri Bolton, Batu Caves, Gombak, dan menahan lima lelaki bersama lebih 50 bungkusan air ketum bernilai RM2,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Selayang yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu masuk bersama dua bungkusan plastik besar lut sinar disyaki air ketum.

Menurutnya, polis kemudian menahannya sebelum membuat pemeriksaan di tingkat atas premis itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ia dijadikan tempat memproses air ketum yang mana empat lelaki lain berada di situ.

“Mereka berusia 28 hingga 61 tahun itu kemudian ditahan bersama bungkusan air ketum yang siap diproses dan beberapa bungkusan plastik hitam disyaki hampas daun ketum yang sudah dimasak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, peralatan memasak dan merebus daun ketum turut dirampas dan mereka direman sehingga 24 November ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati mereka sudah beroperasi lebih sebulan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:17 PM