UNIT tab mandi dan lantai konkrit yang dibina secara haram dirobohkan MPS. FOTO Ihsan MPS
Muhaamad Hafis Nawawi


DUA BELAS unit tab mandi dan lantai konkrit yang dibina secara haram di Kolam Air Panas Selayang di Gombak, dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu operasi bersepadu, hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi dijalankan bermula 10 pagi selepas MPS menerima aduan daripada ahli majlis dan juga orang ramai mengenai struktur yang dibina di kawasan kolam air panas itu.

Menurutnya, MPS juga bimbang binaan haram ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung disebabkan spesifikasi binaan yang tidak mempunyai sebarang kelulusan.

“Operasi itu diketuai oleh Jabatan Landskap dengan bantuan lapan anggota dari Jabatan Penguatkuasa MPS dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebuah jentera jengkaut juga digunakan untuk aktiviti merobohkan dan pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MPS ingin menegaskan bahawa mana-mana individu adalah dilarang sama sekali untuk membina sebarang struktur atau binaan di kawasan atau tanah milik kerajaan selaras dengan undang-undang mengikut Seksyen 46 (1) A Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:45 PM