ZULKIFLI (dua dari kanan) bersama sebahagian sukarelawan Muslim Care yang akan berlepas ke Pulau Basilan, awal pagi ini. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


MUSLIM Care Malaysia Society (Muslim Care) terus menyantuni masyarakat Islam di Pulau Basilan, Filipina menerusi Misi Kebajikan Kesihatan dan Pembangunan Maahad Tahfiz Al Ansor.

Seramai 24 sukarelawan Muslim Care, termasuk doktor menyertai misi berkenaan akan berlepas ke Pulau Basilan, awal pagi ini.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, misi kali ini adalah untuk menyantuni masyarakat Islam di pulau berkenaan yang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Menurutnya, walaupun sudah mendapat kuasa autonomi daripada kerajaan Filipina, masih banyak bantuan pembangunan yang diperlukan.

“Dalam misi kali ini, Muslim Care memberi fokus kepada rawatan kesihatan, pergigian selain bantuan pakaian ibadat untuk umat Islam.

“Sebuah maahad juga sudah dibina dan mampu menempatkan 30 pelajar lelaki untuk mendalami ilmu Islam,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, hari ini.

Zulkifli berkata, bantuan yang dihulurkan adalah hasil sumbangan orang ramai untuk membangunkan masyarakat Islam di pulau berkenaan.

Katanya, sempena misi ini juga, Muslim Care akan bertemu dengan Gabenor Basilan untuk mendapat input lebih banyak mengenai bantuan yang masih diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 12:24 AM