ABDUL Fattah (tengah), Nasir Khan (kiri) dan Kamarudin pada sidang media MACCOPS 2019. FOTO Rohanis Shukri
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KARNIVAL Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2019 yang akan diadakan bermula 28 November ini di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru berpotensi meraih sasaran dagangan ke hadapan bernilai RM200 juta.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, berbeza dengan dua edisi pertama, karnival yang bertemakan Koperasi Gerbang Global Perdagangan Lestari itu bakal disertai 180 agensi kerajaan, syarikat swasta serta koperasi tempatan dan luar negara.

Menurutnya, antara yang sudah mengesahkan penyertaan adalah koperasi dari Filipina, Singapura, Indonesia, Brunei, Indonesia, Thailand, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, India, China, Fiji, Jordan, Kiribati, Korea, Laos, Nepal dan Papua New Guinea.

“MACCOPS 2019 juga akan menyaksikan beberapa perjanjian kerjasama strategik bakal ditandatangani di antara pihak Angkasa dengan koperasi tempatan, koperasi luar negara dan syarikat multinasional bagi memperkukuh, memperluas jaringan perniagaan dalam bidang pertanian, pembekalan, teknologi digital serta hartanah.

“Selain itu, tumpuan utama MACCOPS 2019 sebagai ekspo dagang terulung koperasi adalah sesi pemadanan perniagaan, pocket talk, Persidangan Tahunan Asean Cooperative Organization (ACO) serta seminar di antara koperasi tempatan dan antarabangsa.

“Dijangkakan karnival itu mampu menarik kunjungan lebih 2,000 pengunjung perdagangan termasuk dari negara jiran dan lebih 30,000 pengunjung tempatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presidennya Datuk Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa Nasir Khan Yahaya.

Abdul Fattah berkata, MACCOPS 2019 diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan mendapat sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan.

Katanya, karnival itu menjadi medium bagi menghimpunkan koperasi dari sektor ekonomi utama negara iaitu kewangan, pemborong dan peruncitan, inovasi dan teknologi, pertanian, perladangan, hartanah dan industri binaan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan serta pembangunan komuniti dalam satu platform ke peringkat perdagangan global.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung selama tiga hari karnival itu berlangsung sehingga 30 November ini.

“Antaranya bazar jualan harga patut yang menawarkan barangan asas dengan harga lebih menjimatkan, uji rasa produk koperasi serta cabutan bertuah harian yang menawarkan hadiah seperti motosikal, televisyen, barangan elektrik, telefon pintar dan banyak lagi yang bernilai lebih RM25,000,” katanya.

Sepanjang karnival berlangsung, MACCOPS 2019 dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:15 AM