Skip this ad x
Dr Raman (kiri) menyambut ketibaan tiga pesakit kanak-kanak yang diberi peluang menaiki helikopter selepas mendarat di pekarangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS di Kota Kinabalu semalam. Foto Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh

“TIDAK puas dan mahu lagi naik,” itu kata-kata yang keluar dari mulut Athirah Mohamad, 11, kanak-kanak yang menghidap kanser darah selepas diberi peluang menaiki helikopter menerusi program yang dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Sabah Air dan Program Care Of Terminally Ill (COTI) semalam.

Dia menaiki helikopter berkenaan bersama dua lagi kanak-kanak lain dalam Program 'Your Wishes, We Fulfill'.

Menurut Athirah, walaupun hanya sekejap saja berada di ruang udara sekitar Kota Kinabalu tetapi ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

“Ini adalah pengalaman saya yang pertama kerana sebelum ini tidak pernah pun menaiki kapal terbang apatah lagi helikopter.

“Saya pula memang suka berada di tempat yang tinggi dan ketika berada di dalam helikopter langsung tiada perasaan takut atau gayat malah sangat seronok,” katanya ketika ditemui selepas turun dari helikopter di pekarangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS.

Athirah yang berasal dari Keningau itu dikesan menghidap kanser darah pada Mac tahun lalu dan kini sedang menjalani rawatan termasuk kimoterapi serta rawatan susulan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

Menurut ibunya, Ani Acho, 45, keadaan kesihatan anaknya menyusut sejak tahun lalu apabila berat badan semakin menurun iaitu dari 50 kilogram kepada 42 kilogram.

“Selain itu, saya dapati kulitnya semakin gelap, kaki sering membengkak sebelum saya dan suami rujuk ke hospital dan dia kemudiannya disahkan menghidap kanser darah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesakit kanser usus, Mohd Azlan Abdullah, 6, berkata, walaupun sudah beberapa kali menaiki kapal terbang tetapi pengalaman menaiki helikopter baginya berbeza.

“Naik helikopter lebih seronok kerana saya boleh nampak rumah dan apa saja yang berada di bawah,” katanya yang berasal dari Pulau Gaya.

Seorang lagi pesakit, Mohd Saifullah Jidin, 9, yang dikesan mengalami masalah jantung tidak normal sejak berusia enam bulan turut diberi peluang mengelilingi ruang udara sekitar Kota Kinabalu.

Mereka bertiga dibawa menaiki helikopter yang berlepas dari terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan berlegar di ruang udara sekitar Kota Kinabalu selama 20 minit.

Program itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof Madya Dr Raman Noordin, Pengurus Operasi Penerbangan Sabah Air Kapten Azahari Ahmad, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Masyarakat) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS Dr Yeap Boon Tat dan Pengerusi Syukbah Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Suzain Suhaimi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:55 AM