Foto hiasan
Foto hiasan
Fardy Bungga

KESERONOKAN sekumpulan remaja mandi di Sungai Wasai, Kampung Batu 4 di Telupid bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas petang kelmarin.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Joshua Franklin Francis, 15, dikatakan mandi bersama rakan-rakannya sebelum hilang di sungai berkenaan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.44 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengesan mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya dijalankan dengan bantuan penduduk kampung dengan membuat penyelamatan di permukaan air dan penyelaman di sekitar lokasi terakhir mangsa dikatakan hilang.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat dan orang awam tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khatizah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayatnya kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 3:06 PM