Antara barangan yang dirampas daripada penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di Sungai Kertas, Rabu lalu. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


TIDAK sampai 24 jam memecah masuk sebuah rumah, lelaki yang melarikan pacuan empat roda serta pelbagai barangan berharga termasuk jam tangan dan beg tangan berjenama bernilai RM80,000 dari sebuah rumah di Kampung Sungai Kertas, Gombak dicekup polis.

Lelaki tempatan berusia 30 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Crime Response Team (CRT) Balai Polis Selayang, 4.50 petang semalam selepas memecah masuk rumah itu Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, tangkapan dibuat di sebuah pangsapuri di Sungai Tua susulan laporan polis dibuat pemilik rumah pada hari kejadian.

“Berdasarkan laporan, mangsa meninggalkan rumahnya pada malam Selasa lalu dan kembali keesokan hari sebelum mendapati cermin tingkap terbuka serta ada kesan umpil.

“Sebaik masuk, mangsa melihat rumahnya dalam keadaan berselerak sebelum mendapati pelbagai barangan berharga seperti jam tangan, beg tangan, tabung, kamera DSLR, laptop serta drone hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian ke luar rumah dan mendapati pacuan empat roda Toyota Hilux yang diparkir di luar rumah turut hilang dengan anggaran kerugian RM80,000.

Katanya, susulan itu polis menyerbu sebuah pangsapuri di Sungai Tua dan menemui pelbagai barangan termasuk Toyota Hilux yang dilaporkan hilang sebelum menahan suspek mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah serta enam rekod berkaitan dadah.

“Suspek kini direman enam hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 7:53 PM