MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Iqmal Haqim Rosman


KERAJAAN negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian BKK itu membabitkan 3,600 kakitangan awam dengan pembayaran sekali gus bulan hadapan.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan pinjaman tanpa faedah bagi pembelian kenderaan dan komputer kepada kakitangan awam berkuat kuasa tahun depan.

“Sebagai menghargai segala jasa dan pengorbanan mereka, sukacita saya mengumumkan, dua hadiah buat penjawat awam Negeri Sembilan iaitu kerajaan bersetuju memberikan kosong peratus faedah pinjaman kenderaan dan komputer.

“Kedua, BKK satu bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri. BKK ini dibayar sekali gus Disember 2019.

“Diharapkan bantuan khas ini memberikan dorongan dan galakan kepada penjawat awam melaksanakan tugas dengan lebih dedikasi dan cemerlang,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Yang Ke-14 di sini, semalam.

Aminuddin (PH-Sikamat) berkata, pinjaman tanpa faedah kenderaan itu bagi memudahkan urusan kakitangan memandangkan kerajaan negeri tidak menyediakan kenderaan kepada golongan itu.

“Pinjaman komputer pula sebagai galakan kakitangan awam membeli alatan itu yang digunakan memudahkan urusan kerja terutama di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:15 AM