ZAYANI menggalas tanggungjawab menjaga Mariam di Kampung Kepala Bendang. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


IBU saudaranya dianggap seperti ibu kandung sendiri lantas Zayani Zabidi, 41, cekal memikul tanggungjawab menjaga wanita warga emas itu.

Apatah lagi, Mariam Uda Majid, 72, tinggal berseorangan disebabkan tidak pernah berkahwin serta tidak mempunyai adik-beradik lain.

Selain itu, Mariam yang tidak mempunyai pendapatan bergantung sepenuhnya bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Zayani berkata, Mariam dianggap seperti ibu kandungnya kerana mereka tinggal bersama sejak dia dilahirkan di rumah peninggalan datuknya di Kampung Kepala Bendang.

Katanya, dia tinggal bersama Mariam dan ibu bapanya di rumah berkenaan hingga kedua-dua orang tuanya meninggal dunia pada 1998 dan 2005.

Selepas berkahwin Mac lalu, dia kini tinggal di rumah mentuanya di Sungai Siput namun setiap hari datang memantau ibu saudaranya memandangkan bengkel penghasilan seramik miliknya terletak bersebelahan rumah berkenaan.

“Tinggal berasingan bukan alasan saya mengabaikannya. Saya sentiasa memantau dan menjaganya kerana jasanya memelihara saya selepas kematian ibu bapa saya dikenang sampai bila-bila.

“Alhamdulillah, walaupun jarak kediaman kami jauh kira-kira 25 kilometer, saya tetap berpeluang menjenguknya hampir setiap hari selain menghulur wang sekadar termampu,” katanya.

Menurut Zayani, walaupun pendapatan diperoleh tidak menentu dan bergantung hasil jualan kraf, dia tetap membantu ibu saudaranya dari segi barangan keperluan asas.

“Walaupun kehidupan kami sekadar cukup makan, kami bersyukur kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu antaranya membaiki kerosakan rumah serta kelengkapan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:30 AM