MUKHRIZ (kiri) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Bani Hashim, Hosba, semalam. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


PENGUSAHA ketum diminta memikirkan soal halal dan haram bagi memastikan mereka bertukar kepada tanaman lain walaupun hasilnya tidak ‘selebat’ jualan daun berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengusaha perlu mengambil inisiatif sendiri untuk bertukar kepada tanaman lain yang tidak menyalahi undang-undang.

Katanya, Jabatan Pertanian negeri bersedia untuk memberi khidmat nasihat bagi tujuan itu berikutan lebih banyak tanaman lain mempunyai nilai komersial.

“Dalam kajian, memang dilihat hasil tanaman lain mungkin tak sebanyak tanaman ketum, tapi sekurang-kurangnya tanaman lain itu dibuat secara halal dan tidak langgar sebarang undang-undang.

“Mereka tahu industri ketum masih dalam Akta Racun dan bukan Akta Dadah Berbahaya.

“Tetapi, di bawah Kanun Tanah, syarat pertanian mesti tanaman yang mempunyai nilai komersial seperti kelapa sawit, padi, getah dan tanaman lain. Ketum sudah jelas melanggar peraturan,” katanya mengulas mengenai permintaan pengusaha ketum yang mahu jaminan mereka tidak akan rugi sekiranya memusnahkan tanaman itu.

Rabu lalu, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengadakan dialog bersama 60 tauke ketum dari Kedah dan Perlis di Pusat Giat Mara Jerlun bagi memujuk mereka menukar tanaman terbabit.

Bagaimanapun, dalam sesi dialog itu, pengusaha mahukan jaminan mereka masih mendapat pulangan setimpal seperti tanaman ketum.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mengambil masa lama untuk membaik pulih runtuhan tanah di Jambatan Jalan Sungai Ular di Kilometer 12 Jalan Kulim-Bandar Baharu, baru-baru ini.

Katanya, jabatan berkenaan sudah mengambil tindakan pantas menghantar jentera untuk membaik pulih kawasan berkenaan sejurus selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:45 AM