ANGGOTA tentera kerajaan berkawal di hotel penginapan sukarelawan Muslim Care. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


RUNDINGAN antara Muslim Care Malaysia (Muslim Care) dengan pihak berkuasa Filipina untuk masuk ke Pulau Basilan masih lagi dijalankan pagi ini.

Setakat ini, masih belum ada kata putus yang diberikan untuk membolehkan sukarelawan meneruskan misi bantuan.

Difahamkan, rundingan juga mendapat kerjasama Kedutaan Malaysia di Manila menerusi Konsulat Malaysia di Davao yang terletak 18 jam perjalanan dari bandar ini.

Kumpulan sukarelawan Muslim Care juga diiringi tentera kerajaan yang turut berkawal di hotel sejak malam tadi.

Tindakan itu bagi memastikan keselamatan sukarelawan terjamin dari ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wajihan berkata, usaha rundingan menggunakan Konsulat Malaysia masih berjalan untuk mendapat kebenaran dari kerajaan Filipina.

Menurutnya, walaupun berdepan kesukaran namun Muslim Care optimis kebenaran akan diperoleh dalam masa terdekat.

“Walaupun diberi kuasa autonomi kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Pulau Basilan, namun kerajaan Filipina masih ‘mengawal’ bantuan yang mahu disalurkan kepada masyarakat Islam.

“Kerajaan Filipina masih berdolak-dalih untuk berikan kebenaran dan ini dianggap menghalang bantuan kemanusiaan kepada Bangsamoro disalurkan,” katanya.

Semalam, seramai 24 sukarelawan Muslim Care diarahkan untuk meninggalkan Pulau Basilan hanya selepas kurang lima jam berada di pulau berkenaan.

Walaupun sudah melengkapkan prosedur keselamatan termasuk memberikan surat pemakluman kehadiran, kebenaran masih tidak diberikan pihak berkuasa tentera.

Jaminan keselamatan termasuk ancaman serangan hendap masih belum dapat diberikan menyebabkan misi ditangguhkan sehingga kebenaran diperoleh.

Berita berkaitan

Diarah meninggalkan Pulau Basilan

Pemeriksaan ketat jamin keselamatan

Santuni masyarakat Islam Pulau Basilan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 9:55 AM