SALAHUDDIN bersalaman dengan perwakilan ketika hadir merasmikan Konvensyen Tahunan kali ke-4 Parti Amanah Negara Negeri Perak 2019. FOTO Muhaizan Yahya
Shaarani Ismail


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad untuk menilai prestasinya sebagai Menteri.

Menurut Salahuddin, hanya Perdana Menteri yang akan menilai prestasi semua Menteri Kabinet dan pihaknya akur dengan keputusan yang akan dibuat.

“Untuk menilai prestasi Menteri Kabinet ini, kita serahkan sepenuhnya kepada Tun (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri dan tidak ada seorang pun dari kami (Menteri Kabinet) boleh mendakwa bahawa dialah yang paling bagus atau sebaliknya.

“Bila kita diamanahkan untuk memegang jawatan ini dan saya sendiri bersama rakan-rakan dari AMANAH (Parti Amanah Negara) sudah cuba berbuat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Perak kali ke-4 di Ipoh, hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau bersetuju supaya Menteri yang tidak menunjukkan prestasi baik digugurkan dari Kabinet.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Mahathir membayangkan rombakan Kabinet berlaku sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Perdana Menteri menjelaskan, rombakan Jemaah Menteri itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, tempoh satu tahun setengah sepanjang dilantik sebagai Menteri Kabinet, kebanyakan mereka yang dilantik sudah pun menjalankan kerja dengan bersungguh-sungguh.

“Kita belajar daripada kesilapan, kita sudah berjaya untuk membuktikan bahawa kita mampu menggalas amanah ini dan selepas itu ada ura-ura yang mengatakan ada rombakan Kabinet.

“Jadi saya serahkan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir untuk menilai kerana beliaulah satu-satunya faktor yang akan menentukan sama ada berlakunya reshuffle (rombakan) atau pun tidak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu rundingan terus bagi kontrak projek Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), beliau berkata, semua persoalan berhubung perkara itu sudah pun diperjelaskan semalam dan tidak ada apa yang perlu diperjelaskan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 2:21 PM