Hazsyah Abdul Rahman


SATU video memaparkan tiga lelaki dipercayai mangsa penculikan di perairan Tambisan, Lahad Datu merayu minta bantuan untuk dibebaskan daripada tahanan pengganas Abu Sayyaf.

Rakaman video rayuan mereka berdurasi 44 saat itu dimuat naik ke Facebook semalam.

Video berkenaan memaparkan tiga mangsa sedang duduk mencangkung tanpa baju, tangan terikat dan seorang daripada mereka bertutur dalam bahasa Melayu merayu supaya dibebaskan.

Dalam video itu, mangsa turut meminta majikannya membantu untuk membebaskan mereka daripada menjadi tahanan Abu Sayyaf.

Menerusi rakaman itu, mereka merayu: “Kami adalah warga Indonesia…kami bekerja di Malaysia…kami kena tangkap kumpulan Abu Sayyaf pada tanggal 24 September 2019.

Tangkapan layar daripada rakaman video di Facebook rayuan tiga mangsa culik di perairan Tambisan, Lahad Datu.
Tangkapan layar daripada rakaman video di Facebook rayuan tiga mangsa culik di perairan Tambisan, Lahad Datu.

“Saya harap bos kami membantu kami untuk membebaskan kami dan juga kepada Presiden Republik Indonesia, tolong kami supaya kami bebas dari sini.

“Kumpulan Abu Sayyaf meminta tebusan 30 juta peso (RM2.4 juta) agar kami dapat kembali ke Indonesia,” katanya dalam video itu.

Mangsa terbabit dikenali sebagai Maharudin Lunani, 48; Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27.

Dipercayai kesemua mereka itu bekerja sebagai nelayan di negara ini.

Mangsa dipercayai diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang pada September lalu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi hari ini berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung video terbabit.

“Bagaimanapun, kami akan siasat perkara terbabit dengan lebih lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 2:35 PM
Digital NSTP Subscribe