SULIMAN dijemput memberikan ucapan ringkas ketika singgah di Masjid Nagoya. FOTO Ihsan Suliman Abd Lah
SULIMAN dijemput memberikan ucapan ringkas ketika singgah di Masjid Nagoya. FOTO Ihsan Suliman Abd Lah
Mohamad Fahd Rahmat

“DENGAN berbasikal dapat berjumpa lebih ramai manusia dan mempermudahkan usaha untuk berdakwah dengan orang bukan Islam,” kata Penolong Pengurus Unit Elektrik dan Elektronik Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Suliman Abd Lah, 49.

Ketika ini, Suliman terbabit dalam misi kayuhan solo melalui Kembara Masjid di Jepun 2019 bermula 9 November lalu dan berakhir 27 November ini.

Dia yang mesra dengan panggilan Man Gerek berkata, kehadirannya yang berkayuh di sana menarik perhatian masyarakat setempat dan peluang itu digunakan untuk memperkenalkan Malaysia dan berdakwah.

“Di sesuatu kawasan memang ada orang Islam, jangan malu untuk berjubah dan memakai kopiah, walaupun di kawasan perkampungan dan mereka pasti bertanya saya siapa dan secara spontan saya menjelaskan kepada mereka.

“Apabila sudah minat dan berkayuh ke satu satu destinasi, itu adalah satu kepuasan dan apabila berdakwah serta berjumpa dengan ahli masjid atau di pusat Islam saya bertukar cerita dan itu adalah satu kepuasan yang Allah aturkan,” katanya.

 NIKMATI hidangan bersama  rakyat Jepun  di sebuah restoran halal di Nagoya. FOTO Ihsan Suliman Abd Lah
NIKMATI hidangan bersama rakyat Jepun di sebuah restoran halal di Nagoya. FOTO Ihsan Suliman Abd Lah

Menurutnya, usaha berdakwah dipermudahkan dengan kemahirannya yang menguasai bahasa Jepun sejak mempelajarinya pada 1990 an.

“Saya boleh berbahasa Jepun sedikit dan Alhamdulillah mempermudahkan perbualan dengan mereka namun kadangkala ada bahasa Jepun yang kekampungan, insya-Allah saya boleh menggunakan bahasa isyarat.

“Kadangkala di bandar, cara berkomunikasi itu lebih mudah sedikit kerana ramai orang muda boleh berbahasa Inggeris,” katanya.

Menurutnya, hasil pemerhatiannya ramai orang Jepun sebenarnya sudah menerapkan cara hidup Islam seperti memakai pakaian yang menutup aurat seperti orang Islam.

Suliman merancang untuk meneruskan misi kembara kayuhan solo itu ke New Zealand tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:31 AM