Baharom Bakar


“SAYA sudah berusaha melaksanakan tanggungjawab seperti diamanahkan, terpulanglah kepada Dr Mahathir (Mohamad) sama ada menggugurkan nama saya untuk terus menerajui kementerian atau sebaliknya,”.

Itu reaksi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengulas mengenai namanya disebut-sebut antara enam menteri kabinet yang akan digugurkan dalam cadangan rombakan kabinet oleh Dr Mahathir.

Menurutnya, Dr Mahathir mempunyai kuasa prerogatif untuk melakukan rombakan barisan kabinet.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menegaskan menteri kabinet tidak boleh mempertikaikan kerana rombakan kabinet adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.

Mohd Redzuan beramah mesra dengan usahawan dalam program Himpunan Usahawan hari ini. FOTO Imran Makhzan

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan siapa yang kekal atau bakal disingkirkan daripada Kabinet.

“Sebelum Perdana Menteri memuktamad dan mengumumkan, tanggungjawab seperti diamanah perlu diteruskan,” katanya ditemui pada program Himpunan Usahawan Anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) di Kuala Terengganu hari ini.

Mohd Redzuan turut menasihatkan rakan menteri supaya tidak melatah atau berkecil hati jika nama digugurkan dalam barisan kabinet nanti.

Berita berkaitan

6 menteri disebut-sebut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 5:42 PM