Zatul Iffah Zolkiply


PEGAWAI kanan polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 November lalu bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM80,000 dilepaskan dengan jaminan SPRM semalam.

Pengarah SPRM Terengganu Mohd Zaki Hassan berkata, lelaki berusia 40-an itu dilepaskan selepas tempoh reman selama enam hari terhadapnya berakhir.

“Setakat ini, hasil siasatan mendapati hanya pegawai itu sahaja yang terbabit membabitkan mangsa yang juga orang awam.

“Siasatan kita masih teruskan sebelum kita kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi SPRM Terengganu Bersama Rakan Strategik dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Negeri Terengganu 2019 di Kompleks SPRM di Kuala Terengganu, malam tadi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, SPRM menahan pegawai kanan polis bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan bernilai RM80,000.

Lelaki terbabit ditahan pada 12.30 tengah hari di Pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Ketika ditanya mengenai keadaan rasuah terutama membabitkan penjawat awam di Terengganu, Mohd Zaki berkata, ia masih terkawal.

“Hasil siasatan, terdapat pengurangan kes rasuah terutama penjawat awam termasuk yang membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perhutanan.

“Sebelum ini, kita memberi lebih tumpuan penguatkuasaan terhadap isu rasuah berkaitan alam sekitar dan maritim kerana pelakuan rasuah ini menyebabkan negara kehilangan aset bernilai jutaan ringgit.

“Berdasarkan statistik pada tahun ini, ada pengurangan dan siasatan kita sekarang lebih kepada perolehan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11C atau Seksyen 23 Akta SPRM 2019 dan bukannya meminta atau menerima rasuah,” katanya.

Berita berkaitan

Pegawai kanan polis disiasat kes rasuah RM80,000

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 9:13 AM