Shamsul Munir Safini


PASANGAN gay mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan melanggar peraturan 11(7(a) Peraturan Imigresen 1963 dengan melakukan aktiviti tidak bermoral di dalam bilik hotel di Jalan Burma, Georgetown awal bulan ini.

Kedua-dua tertuduh Tang Van Duc, 22 dan Lee Vu Linh, 29, membuat pengakuan itu selepas kertas pendakwaan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus.

Mengikut fakta kes, tertuduh masuk ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial pada 18 Oktober bagi tujuan melancong yang sah lakunya sehingga 15 November.


PASANGAN gay Tang Van Duc, 22, dan Lee Vu Linh, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melanggar peraturan 11(7(a) Peraturan Imigresen 1963 dengan melakukan aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Burma, Georgetown awal bulan lalu. FOTO Ramdzan Masiam

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 12 November, 9.30 malam di hotel di Jalan Burma ketika sedang melakukan aktiviti tidak bermoral dengan ejen provokator di sebuah bilik di situ.

Tertuduh didapati melanggar Peraturan 11(7)(a) Peraturan Imigresen 1963 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah peraturan 39.

Norhayati kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JIM Mohd Syihan Md Subri.

Berita berkaitan

Masuk sah, buat kerja songsang pula...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 1:43 PM