WARTAWAN dan jurugambar NSTP yang meraih hadiah utama dalam Kinabalu Press Award di Hotel Magellan Sutera. FOTO NSTP
WARTAWAN dan jurugambar NSTP yang meraih hadiah utama dalam Kinabalu Press Award di Hotel Magellan Sutera. FOTO NSTP
Norasikin Daineh

norasikin_daineh

KUMPULAN The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengungguli Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2019 apabila membolot 11 hadiah utama, termasuk lapan anugerah merit.

Wartawan Harian Metro (HM), Norasikin Daineh dan Fardy Bungga bersama wartawan Berita Harian (BH), Mohd Izham Unnip Abdullah dan Suzianah Jiffar serta wartawan New Straits Times (NST), Avila Geraldine memenangi hadiah utama Anugerah Laporan Berita Bahasa Melayu bagi laporan bersiri berkumpulan.

Mereka memenangi anugerah itu menerusi satu siri laporan berkaitan berita politik bekas Ketua Menteri Sabah.

Norasikin turut mengungguli hadiah utama Anugerah Alam Sekitar Bahasa Melayu, menerusi laporan Malaysia Bersamamu Iman, manakala Fardy memenangi merit Anugerah Kewartawanan Bahasa Melayu untuk laporan khas Tayum Cicah Kicap.

Wartawan BH, Poliana Ronnie Sidom memenangi anugerah utama menerusi Anugerah Laporan Perniagaan dan Ekonomi Bahasa Melayu dan merit bagi Anugerah Alam Sekitar Bahasa Melayu, manakala wartawan sambilan BH, Rafiqah Dahali memenangi anugerah utama Foto Terbaik Stringer.

Wartawan NST, Avila Geraldine dan Olivia Miwil menang Anugerah Kewartawanan Berita Bahasa Inggeris, selain Olivia turut menang Anugerah Kewartawanan Sukan Bahasa Inggeris.

Jurufoto NSTP, Khairull Azry Bidin memenangi dua Anugerah Utama bagi Alam Sekitar dan Sukan, manakala jurufoto Malai Rosmah Tuah memenangi anugerah utama bagi Foto Laporan Berita Terbaik dan merit Sukan.

Turut memenangi anugerah, wartawan sambilan HM, Hazsyah Abdul Rahman bagi kategori Anugerah Kewartawanan Stringer Bahasa Melayu dan merit bagi Anugerah Foto Terbaik Stringer, manakala seorang lagi wartawan sambilan HM, Recqueal Raimi memenangi dua merit bagi dua kategori itu.

Hadiah utama disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam majlis yang berlangsung di Hotel Magellan Sutera, di Kota Kinabalu, malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 11:05 PM