SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia akan terus menyantuni komuniti Islam di Pulau Basilan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


ZAMBOANGA (Filipina): Walaupun berdeban pelbagai cabaran, Muslim Care Malaysia (Muslim Care) berazam untuk kembali ke Pulau Basilan.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, sukarelawan tetap bersemangat untuk kembali meneruskan misi kemanusiaan tanpa mengira erti putus asa.

Menurutnya, tidak dapat meneruskan misi menyantuni komuniti Islam di Pulau Basilan bukan bermakna Muslim Care akan menyerah kalah dalam meneruskan misi kemanusiaan ke segenap pelosok dunia.

“Misi kemanusiaan tidak mengenal warna kulit dan sempadan geografi kerana membantu saudara seagama amat dituntut dalam Islam.

“Jadi, Muslim Care akan kembali semula ke Pulau Basilan untuk meneruskan misi yang tertangguh selain berharap masalah birokrasi tidak lagi berlaku,” katanya, semalam.

Katanya, banyak lagi lokasi komuniti Islam di Filipina akan dibantu dari pelbagai sudut agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Tambahnya, Muslim Care juga merancang untuk membangunkan kedai runcit untuk diuruskan penduduk setempat agar ekonomi setempat dapat dibangunkan.

“Terima kasih kepada rak yat Malaysia yang sudi menghulurkan sumbangan material dan wang kepada Muslim Care. Orang ramai yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank (564490413882) dan Bank Islam (14014010147470),” katanya.

Pasukan Misi Kesihatan dan Kebajikan Basilan 2019 yang dianggotai 24 sukarelawan akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini (semalam) selepas tiba di Zamboanga sejak Jumaat lalu.

Misi ini membawa pelbagai bantuan pakaian dan perubatan untuk diserahkan kepada penduduk di Baranggay Sirenggon Haji Mohd Ajul dan Kampung Malandih Patalun Zamboanga City.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 6:00 AM