X
TIGA nelayan yang hilang di perairan Bintulu. FOTO Ihsan APMM
TIGA nelayan yang hilang di perairan Bintulu. FOTO Ihsan APMM
Erika George


DUA beranak antara tiga lelaki yang dikhuatiri hilang di perairan Bintulu selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar memukat ikan, semalam.

Mangsa, Shamsuddin Dahlan, 52, bersama anaknya, Mohd Syazwan Shamsuddin, 17, dan rakan anaknya, Mohd Husaini Azman, 18, dikatakan keluar pada 3 pagi menggunakan bot dari Jeti Kampung Masjid.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, kesemua mangsa berasal dari Kampung Jabai dan Kampung Sinong.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) sejak 10 pagi hari ini dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sektor pencarian adalah seluas 10 batu nautika persegi iaitu kira-kira 20 kilometer persegi dari perairan Beting Nyabau dan Beting Kidurong Bintulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, komuniti maritim terutamanya di Bintulu diharap dapat menyalurkan sebarang maklumat berkenaan insiden itu dan menggesa supaya mengutamakan keselamatan ketika berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, hasil maklumat yang dikumpul, ketiga-tiga mangsa gagal dihubungi menerusi telefon masing-masing.

“Ahli keluarga mangsa juga percaya bot yang dinaiki oleh kesemua mangsa berkemungkinan mengalami masalah enjin.

“Pencarian awal juga sudah dilakukan ahli keluarga mangsa dengan menggunakan bot persendirian di sekitar kawasan laut Beting Nyabau, Batu Tanding dan darat tetapi tidak mendapat apa-apa petunjuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 2:21 PM