Siraj Mohd Zaini


KERAJAAN tidak pernah menerima permohonan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan tidak berkompromi dalam hal itu, bahkan tidak akan membelakangkan jasa dan pengorbanan rakyat yang berjuang mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

“Berdasarkan maklumat saya terima, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) tidak pernah menerima permohonan atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu Chin Peng.

“Sudah tentu kerajaan dan KEMENTAH tidak akan, serta tidak pernah membelakangkan jasa dan pengorbanan perwira terdahulu, termasuk keluarga dan waris yang kehilangan ahli keluarga menentang komunis.

“Saya juga yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara akan menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019’ di Shah Alam, hari ini.

WAN Azizah ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan 'Smart Technology for Smart City Summit 2019'. FOTO Saddam Yusoff
WAN Azizah ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan 'Smart Technology for Smart City Summit 2019'. FOTO Saddam Yusoff

Semalam, sebuah portal berita melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.

Tindakan itu mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) yang menyatakan perbuatan itu dilihat menghina perjuangan rakyat menolak komunis.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

Berita berkaitan

Abu mayat Chin Peng: KDN siasat

'Mengguris hati kami' - Veteran tentera, polis

'Tak perlu rujuk sejarah, mata jadi saksi'

Polis Perak tak terima laporan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 4:09 PM