AHLI PVATTBM membuat laporan polis di Balai Polis Kangar berhubung tindakan sebuah kumpulan pengurusan yang membawa pulang abu mayat pemimpin PKM, Chin Peng dari Thailand ke Perak. FOTO IHSAN PVATTBM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), hari ini, membuat satu laporan polis berhubung tindakan sebuah kumpulan pengurusan bertanggungjawab membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dari Thailand ke Ipoh, Perak pada 16 September lalu.

Presiden PVATTBM, Ismail Abidin berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan sebenar kumpulan terbabit yang dilihat seakan mengagungkan pengganas.

“Kami mewakili kumpulan tentera benar-benar kecewa dengan tindakan kumpulan pengurusan terbabit kerana tindakan mereka seolah memperlekehkan usaha kami yang menentang pengganas komunis sejak dahulu.

“Ramai rakan kami terkorban ketika menentang komunis, malah ada sebahagiannya masih hidup tetapi mengalami kecacatan kekal akibat serangan dalam hutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Mengulas lanjut, pihaknya meminta polis melakukan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan selain menggesa tangkapan juga turut dilakukan.

“Hairan sungguh masih ada segelintir rakyat mengiktiraf Chin Peng sehingga diadakan satu majlis peringatan buatnya.

“Sedangkan pasukan keselamatan dahulu yang berjuang bermati-matian menentang komunis kerana kekejaman dilakukan tidak pula dipedulikan sehingga ada yang melarat dan meninggal dunia dalam kemiskinan,” katanya.

Ismail berkata, dia bersama kira-kira 20 veteran tentera di negeri ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bagi membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 503/504 (c) Kanun Keseksaan.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abu ke Malaysia untuk disemadikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:36 PM