KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO Azhar Ramli.
KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO Azhar Ramli.
Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 44,941 pelawat asing diarahkan meninggalkan negara ini sejak Januari hingga 31 Oktober tahun ini berikutan kedatangan mereka diragui.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua mereka disenaraikan sebagai individu ditolak kemasukan atau ‘Not To Land’ (NTL) berikutan gagal memenuhi syarat kemasukan.

Katanya, jumlah paling ramai membabitkan pelawat dari Indonesia iaitu 20,676 orang diikuti India (6,398), China (4,793), Bangladesh (3,155), Myanmar (2,445) dan bakinya dari lain-lain negara.

“Tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu apabila kedatangannya ke negara ini meragukan atau tidak memenuhi syarat kemasukan terutama di pintu masuk utama negara.

“Malah, bagi pelawat mempunyai visa atau dokumen lengkap sekalipun, kita akan periksa sama ada mereka mempunyai wang pembiayaan mencukupi sepanjang berada di negara ini selain ada membuat tempahan penginapan serta tiket pulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut dibuat bagi memastikan mereka tidak berada dalam senarai hitam selain tidak terbabit kegiatan menyalahi undang-undang negara.

Menurutnya, jika gagal mematuhi syarat berkenaan, JIM tidak akan berkompromi serta tidak teragak-agak mengarahkan mereka meninggalkan negara ini.

“Bagi memastikan tahap kawalan dan keselamatan di pintu masuk utama negara kekal terpelihara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM20 juta bagi memasang kamera litar tertutup (CCTV) bermula 1 Januari tahun hadapan.

“Selain itu JIM akan memperluas integrasi sistem pengkalan data ‘Stolen and Lost Travel Document’ (SLTD) bagi memastikan data pasport yang dilaporkan hilang dapat dikongsi ke seluruh dunia dan dikesan sekiranya cuba digunakan.

“SLTD ini sebagai sebahagian usaha JIM menghalang penyalahgunaan pasport yang dilaporkan hilang atau dicuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:56 PM