KHAIRUL Faizi (kanan) menziarahi Khalijah yang mengidap kanser payudara ketika ditemui dikediamannya di Taman Matahari Heights, Senawang. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KHAIRUL Faizi (kanan) menziarahi Khalijah yang mengidap kanser payudara ketika ditemui dikediamannya di Taman Matahari Heights, Senawang. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Hasbi Sidek

SETIAP bulan Khalijah Khalid, 62, terpaksa berulang-alik dari kediamannya di Taman Matahari Heights, Senawang untuk ke Institut Kanser Negara (IKN), di Putrajaya bagi menjalani rawatan radioterapi selepas menjalani pembedahan kanser payudara Mei dan Jun lalu.

Kos pengangkutan yang tinggi agak membebankan memandangkan suami sudah pencen dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Malah kos pembedahan sebelum itu sebanyak RM20,000 ditanggung anak-anak.

Bagaimanapun, sejak Ogos lalu beban yang ditanggungnya berkurangan apabila mendapat insentif tambang pengangkutan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Khalijah berkata, keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas menjalani pembedahan dan bersyukur kerana keprihatinan pihak kerajaan menyediakan skim berkenaan kepada warga emas dari golongan B40.

“Saya disahkan menghidap kanser pada Mei lalu selepas mengalami sesak nafas yang teruk dan mendapati terdapat ketulan kecil di dada.

“Saya menjalani pembedahan untuk membuang ketulan berkenaan kira-kira dua minggu kemudian di sebuah hospital swasta di Seremban sebelum menjalani pembedahan kedua pada Jun di hospital sama.

“Selepas itu saya dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan susulan kemudian diminta menjalani rawatan radioterapi di IKN. Sejak itu, saya berulang-alik ke IKN untuk menjalani rawatan,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Kata Khalijah, salah seorang menantu yang bekerja di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban memaklumkan kepadanya mengenai PeKa B40 lalu memohon untuk mendapatkan bantuan berkenaan dan layak.

“Sehingga kini saya menerima RM300 menerusi insentif melengkapkan rawatan kanser dan RM202 bagi insentif tambang pengangkutan sejak Ogos lalu,” katanya.

KHAIRUL Faizi (kanan) bersama Siva dan Pavanamah yang menghidap penyakit kanser ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Datuk Shahardin, Labu Hilir. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KHAIRUL Faizi (kanan) bersama Siva dan Pavanamah yang menghidap penyakit kanser ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Datuk Shahardin, Labu Hilir. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Turut menerima faedah dari PeKa B40 ialah K Pavanamah, 65, yang menghidap penyakit kanser ovari tahap tiga dan kini menerima rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban selepas menjalani pembedahan pada April tahun lalu.

Anaknya, M Siva, 42, berkata bantuan diterima dari PeKa B40 membuatkan mereka sekeluarga lega memikirkan kos rawatan dan pengangkutan yang perlu ditanggung setiap bulan.

“Pada Mac tahun lalu, ibu mengadu sakit perut dan kami membawanya ke klinik, namun dimaklumkan ia adalah sakit biasa dan memberinya ubat serta berehat. Namun, beberapa hari kemudian, ibu mengadu sakit perut lagi.

“Perutnya membesar seperti orang hamil dan kami disarankan untuk membuat pemeriksaan di HTJ sebelum ibu disahkan menghidap kanser ovari tahap tiga. Kami sekeluarga mula sedih dan bimbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Shahardin, Labu.

Sejak menjalani pembedahan, setiap bulan keluarganya mengeluarkan kos sekitar RM500 untuk membeli peralatan tertentu selain kos pengangkutan dan membeli susu.

Siva berkata, dia mengetahui mengenai bantuan PeKa B40 apabila dimaklumkan oleh seorang doktor bahawa ibunya layak untuk menerima bantuan melalui skim berkenaan.

“Saya terus ke Klinik Kesihatan Labu untuk mendapatkan penerangan lanjut dan memohon bantuan itu. Saya lega apabila ibu layak mendapat bantuan ini yang mana sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Nilai.

PeKa B40 adalah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah atau kumpulan B40.

Diperkenalkan 15 April lalu, seramai 4,079 permohonan diterima untuk mendapatkan bantuan alat perubatan manakala 1,320 permohonan untuk insentif melengkapkan rawatan kanser sehingga 19 November lalu.

PeKa B40 memberi penekanan kepada pengesanan penyakit awal tidak berjangkit (NCD) kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka berumur 50 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40. Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40.

Ia dibiayai sepenuhnya kerajaan dan menyediakan empat manfaat meliputi saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan (hingga RM20,000), insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan (sehingga RM1,000).

Ketua Komunikasi Strategik PeKa B40, Khairul Faizi Dalaiil, berkata Pavanamah layak menerima Manfaat 1 membabitkan saringan kesihatan percuma, Manfaat 3 (insentif melengkapkan rawatan kanser berjumlah RM1,000) dan Manfaat 4 membabitkan insentif tambang pengangkutan sehingga RM500.

“Khalijah pula menikmati Manfaat 1, 3 serta 4 dan sudah menerima RM300 bagi Manfaat 3 dan bakal menerima bakinya RM700 selepas selesai melengkapkan rawatan.

“Bagi insentif tambang pengangkutan, dia menerima RM202 dan bantuan itu akan berterusan sehingga mencecah RM500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 11:23 AM