Hanneeyzah Bariah Baharin


BESUT menjadi daerah pertama membuka pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini apabila Felda Tenang dan Kampung Belaoh, dinaiki air dalam gelombang kedua banjir kali ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri merangkap Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, PPS pertama dibuka sejak 9 pagi hari ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang.

Katanya, sebuah lagi PPS iaitu di Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Hulu Besut, mula dibuka sejak 12 tengah hari tadi.

“Setakat ini sejumlah 57 mangsa dari 17 keluarga dipindahkan ke dua PPS berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga 0.5 meter.

“Daripada jumlah itu, seramai 24 mangsa dari lapan keluarga berada di PPS SK Felda Tenang, manakala 33 mangsa dari sembilan keluarga di Dewan Terbuka Kampung Belaoh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

MOHD Shukri Hussin, 52 memperkuatkan ikatan restoran terapungnya di Taman Negara sebagai persiapan berikutan peningkatan air Sungai Tembeling akibat hujan lebat berterusan. FOTO Roselan Ab Malek
MOHD Shukri Hussin, 52 memperkuatkan ikatan restoran terapungnya di Taman Negara sebagai persiapan berikutan peningkatan air Sungai Tembeling akibat hujan lebat berterusan. FOTO Roselan Ab Malek

Che Adam berkata, berdasarkan keadaan cuaca semasa yang masih hujan, pihaknya menjangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan ke PPS secara berperingkat.

“Ketika ini di Besut cuaca masih hujan dengan sekejap lebat dan kadang kala renyai. Justeru kita jangka, jumlah mangsa banjir akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Kita nasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutama soal isu keselamatan keluarga mereka kerana banyak kawasan semakin dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, sehingga 12 tengah hari ini, paras sungai di Besut dan Setiu masih menunjukkan corak peningkatan apabila bacaan empat sungai melepasi paras bahaya.

Di Setiu, ia membabitkan Sungai Setiu di stesen Kampung Besut pada paras 17.99 meter (m); Sungai Nerus di stesen Kampung Langkap (21.34m) dan Sungai Chalok di stesen Jambatan Chalok (8.55m).

Sungai Besut di stesen Kampung La pula meningkat pada paras 23.95m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 2:41 PM