TONG Yee dipanggil memberi keterangan di IPD Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
TONG Yee dipanggil memberi keterangan di IPD Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari


LIMA individu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh petang tadi dipercayai memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, ke negara ini.

Mereka dilihat tiba di perkarangan IPD Ipoh jam 2.50 petang dan sehingga jam 6.30 petang masih belum keluar daripada IPD Ipoh.

Seorang daripada individu itu, Tong Yee, 82, berkata, dia dihubungi polis pagi tadi bagi memberi keterangan selepas menghadiri satu daripada majlis peringatan dan sidang media berhubung tindakan membawa balik abu mayat pengganas berkenaan.

“Saya terus hadir di balai pada petang ini bagi memberi keterangan, sesi memberi keterangan selesai selepas kira-kira satu jam setengah,” katanya ketika ditemui pemberita di luar IPD Ipoh petang tadi.

Yee yang berasal dari Ipoh yang juga penyelaras kumpulan yang membawa pulang abu mayat itu, mendakwa tidak mempunyai pertalian atau hubung kait dengan Chin Peng.

“Saya tidak mengetahui siapa yang mengambil dan membawa abu Chin Peng berkenaan pulang ke negeri ini.

“Malah, saya juga tidak tahu bagaimana dan bila abu itu sampai di sini,” katanya sebelum kembali memasuki IPD Ipoh.

Sebelum ini, media melaporkan Yee bersama kumpulan berkaitan menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang untuk memperingati Chin Peng.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Berita berkaitan

Abu mayat Chin Peng: KDN siasat

'Mengguris hati kami' - Veteran tentera, polis

'Tak perlu rujuk sejarah, mata jadi saksi'

Polis Perak tak terima laporan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 8:23 PM