MASJID Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
MASJID Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP


WAKTU solat Subuh bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dilewatkan lapan minit bermula esok berbanding takwim solat sedia ada selepas Selangor melaksanakannya, hari ini.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ia berikutan penukaran nilai kedudukan matahari bagi kiraan waktu Subuh daripada 20 darjah di bawah ufuk kepada 18 darjah.

“Setiap darjah dikira empat minit seterusnya menjadikan dua darjah sebagai tambahan lapan minit.

“Pada dasarnya, keputusan ini dipersetujui dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-116 pada 20 hingga 21 November lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memperkenankan perkara itu agar ia dilaksanakan di Wilayah Persekutuan selepas disyorkan oleh beliau dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.

Katanya, kawasan yang terbabit hendaklah menta’khirkan (melewatkan) lapan minit azan Subuh berbanding taqwim solat Wilayah Persekutuan sedia ada.

“Kami akan bahaskan secara khusus berhubung hukum solat Subuh yang sudah dilakukan sebelum ini berdasarkan kepada taqwim sedia ada, dalam masa terdekat,” katanya.

Berita berkaitan

JMNS perjelas isu Subuh lewat 8 minit

'Extra' 8 minit waktu solat Subuh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:08 PM