PENGGUNAAN kabin atau kontena berkonsep moden dan mengikut trend terkini antara usaha dilaksanakan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Bahagian Industri Asas Tani (IAT), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi mempromosi sektor agropelancongan negara.
Konsep berkenaan dapat dilihat di Kluster Agropelancongan dalam ruang pameran utama sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall di sini, selama empat hari sehingga esok.
Pengarah Bahagian IAT dan Bukan Padi, MADA, Ruslan Abdul Ghani Ahmad berkata, dalam kluster berkenaan, terdapat enam sub kluster yang mengetengahkan DIY dan kraf, hobi dan rekreasi, agro bistro, agro budaya, kesihatan dan kecantikan serta informasi umum.
Katanya, pengunjung HPPNK 2019 dapat melihat bagaimana usahawan di bawah bimbingan Bahagian IAT MOA, MADA dan Jabatan serta Agensi MOA berganding bahu mengetengahkan produk berasaskan pertanian sebagai produk agropelancongan.
Di kluster agropelancongan HPPNK 2019 juga, pengunjung dapat mengetahui destinasi agropelancongan terkini dan terhangat di pasaran.
“Terdapat juga barangan terpakai yang dihasilkan menjadi jentera pertanian yang direka dua beradik berasal dari Kedah,” katanya.
Tahun ini juga buat julung kalinya, MADA menerima dua anugerah iaitu Anugerah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jaya dimenangi PPK MADA H-II, Kepala Batas dan Anugerah Unit Jaya yang dimenangi oleh Unit Simpang Sanglang, Perlis di bawah PPK MADA E-I, Simpang Empat, Perlis.