ANTARA wanita yang ditahan dalam operasi berkenaan.  FOTO Ihsan Polis
ANTARA wanita yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN seorang pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam bersembunyi di belakang katil berdinding di dalam bilik karaoke di sebuah bangunan di Kuala Lumpur, gagal, apabila ditahan polis, malam tadi.

Dia antara 18 GRO warga China dan Vietnam berusia antara 23 hingga 36 tahun yang ditahan dalam serbuan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman di sebuah premis spa dan pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah.

Serbuan bermula 10 malam itu diketuai oleh diketuai Deputi Superintendan Redzaime Abd Hamid dan membabitkan 17 pegawai dan 46 anggota D7 Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tingkat tiga dan empat bangunan itu dijadikan spa, sementara bilik karaoke terletak di tingkat lima, enam, tujuh, lapan dan 17.

Beliau berkata, premis itu sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu.

“Premis ini menyediakan hiburan berkonsepkan karaoke dengan menggajikan wanita warga asing sebagai GRO dan pelacur untuk menarik pelanggan.

“Laluan masuk ke premis menggunakan satu lif di mana setiap pelanggan yang masuk akan dilapor menggunakan ‘walkie-talkie’ oleh penjaga di pintu utama,” katanya.

Rohaimi berkata, kebanyakan laluan masuk di setiap tangga yang menghubungkan bilik itu turut dilengkapi pintu bermagnet dan diubahsuai dalam pelbagai cara untuk melengahkan pihak berkuasa sampai ke tingkat atas.

“Wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai GRO dan pelacur berdasarkan penemuan kondom.

“Turut ditahan, pekerja di situ terdiri daripada lapan lelaki tempatan, dua lelaki warga China, empat lelaki Bangladesh, seorang lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita warga Thailand dan Indonesia, berusia antara 26 hingga 52 tahun,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 372 (1)(f) Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Kes turut disiasat mengikut Peraturan 55b Peraturan Imigresen 1963, Peraturan 39B Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(10 Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 1:26 PM