Laporan portal Harian Metro semalam
Laporan portal Harian Metro semalam
Muhammad Apendy Issahak


POLIS mengesahkan dua individu sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, hanya dua individu yang memberi keterangan dan siasatan berhubung kes berkenaan adalah dijalankan pihak Bukit Aman.

“Daripada lima yang hadir ke IPD Ipoh semalam, hanya dua yang diambil keterangan dan siasatan dijalankan pihak Bukit Aman manakala polis Perak membantu menjalankan siasatan kerana ia berlaku di negeri ini.

“Bantuan siasatan adalah daripada semua aspek termasuk saksi yang mengetahui mengenai perkara itu selain maklumat mengenai tempat abu berkenaan ditaburkan yang difahamkan terdapat di kawasan laut iaitu kira-kira tiga hingga empat kilometer yang lokasinya secara tepat sukar untuk dipastikan.

“Saksi yang menaburkan abu itu yang mengetahuinya (lokasi sebenar) dan polis akan dapatkan maklumat daripadanya,” katanya.

Semalam, dilaporkan lima individu hadir di IPD Ipoh dipercayai untuk memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Sebelum ini, media melaporkan satu kumpulan menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang untuk memperingati Chin Peng.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Berita berkaitan

Abu mayat Chin Peng: Lima individu beri keterangan

Abu mayat Chin Peng: KDN siasat

'Mengguris hati kami' - Veteran tentera, polis

'Tak perlu rujuk sejarah, mata jadi saksi'

Polis Perak tak terima laporan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 3:47 PM