X
Siti A’isyah Sukaimi


“KETIKA diumumkan tempat kedua dan ketiga, nama saya tiada. Masa itu saya fikir, saya kalah.

“Saya terus menghantar mesej kepada pengetua dan guru pengiring memaklumkan yang saya kalah dalam pertandingan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Fatin Azwani Abu Zarin, 16, yang juga kurang upaya penglihatan (buta sebelah mata).

Remaja perempuan yang disahkan mengidap kanser mata (retinoblastoma) sewaktu bayi itu memenangi pingat emas selepas mewakili Malaysia dalam acara eLife Map Challenge (Individu) pada Pertandingan Global IT Challenge For Youth With Disabilities 2019 di Busan, Korea.

Menceritakan situasi berkenaan, Fatin Azwani berkata, ketika diumumkan keputusan, dia berasa putus harapan kerana menyangkakan tidak diumumkan sebagai pemenang untuk acara itu.

Kontinjen Malaysia (dari kiri) Lemueel, Muhammad Azimin, Yi Kai dan Fatin Azwani selamat tiba di klia2. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Kontinjen Malaysia (dari kiri) Lemueel, Muhammad Azimin, Yi Kai dan Fatin Azwani selamat tiba di klia2. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

“Selepas saya mesej pengetua dan guru pengiring, mereka memberi semangat dan menasihatkan saya supaya jangan putus asa lagi.

“Tidak lama selepas itu ketika diumumkan untuk pingat emas, saya pandang di hadapan dan terlihat ada nama tertulis di situ.

“Saya terduduk dan menangis sehinggakan guru datang ke tempat saya dan memapah untuk ke atas pentas bagi mengambil hadiah,” katanya ketika ditemui ketika ketibaan kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar menyambut ketibaan kontinjen Malaysia.

Dalam pada itu, Fatin Azwani berkata, untuk kategori berkumpulan bersama tiga rakannya yang lain, mereka tidak berjaya membawa pulang hadiah selepas berdepan masalah teknikal ketika pertandingan berlangsung.

“Masalah teknikal itu seperti sensor dan komputer riba tidak berfungsi manakala telefon pintar yang disediakan oleh pihak penganjur juga tidak dapat memindahkan maklumat.

“Waktu itu saya beritahu rakan pasukan supaya jangan putus asa, mana tahu ada rezeki dan harapan lagi. Sebagai ketua kumpulan, saya kena berikan kata-kata semangat,” katanya.

Ditanya mengenai saingan, dia berkata, kontinjen Malaysia adalah paling muda berbanding peserta dari negara lain yang terdiri daripada penuntut kolej dan universiti.

Rakannya, Lim Yi Kai, 15, dari SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur yang juga kurang upaya pendengaran berkata, dia berasa bangga dapat mewakili Malaysia pada pertandingan itu serta menghargai guru yang banyak membantu bagi persediaan pertandingan berkenaan.

Katanya, dia juga tidak menyangka diumumkan tempat pertama dan membawa pingat emas pada acara eLife Map Challenge (Individu) pada pertandingan berkenaan.

“Sewaktu pengumuman tempat pertama, saya terkejut melihat Fatin dan dia menangis.

“Tak sangka rupanya nama saya juga diumumkan pemenang tempat pertama. Ini pertama kali saya ke luar negara dan berharap dapat ke sana lagi untuk bertemu rakan di Korea,” katanya.

Selain Fatin Azwani dan Yi Kai, dua lagi peserta dari Malaysia ialah Muhammad Azimi Mohamed Roseli, 15, dari SMK Alam Damai yang juga mengidap masalah pembelajaran (autisme) dan S Lemueel Mill, 15, dari SMK (L) Methodist iaitu kurang upaya fizikal (limb defect).

Fatin Azwani dan Yi Kai masing-masing membawa pulang hadiah wang AS$300 (RM1,254)bersama sijil manakala, Muhammad Azimi memenangi hadiah gangsa bagi acara eLife Map Challenge (Individu) serta membawa pulang sijil dan wang AS$100 (RM418).

Selain itu, Muhammad Azimi turut memenangi pingat gangsa bagi acara eTool Challenge (Individu) dan membawa pulang sijil serta wang AS$100 (RM418).

Sementara itu, Maznah berkata, pertandingan berkenaan adalah projek pembangunan kapasiti yang membantu murid kurang upaya untuk mengatasi batasan dan mencabar diri mereka bagi masa depan lebih baik.

Katanya, sebanyak 20 negara menyertai pertandingan itu antaranya United Kingdom, Mongolia, Sri Lanka, India, Ethiopia, Kyrgyzstan, China, Korea dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 6:53 PM