KAWASAN kampung di Jalan lama Pasir Mas-Jeram Perdah di Rantau Panjang tidak boleh dilalui kenderaan ringan selepas ditenggelami air. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BANJIR di Kelantan semakin buruk apabila seramai 3,144 mangsa dipindahkan sehingga jam 6 petang ini, berbanding 1,671 orang, 1 tengah hari tadi.

Kesemua mereka membabitkan 917 keluarga ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Bachok.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 1,498 mangsa daripada 471 keluarga di 16 PPS.

Kota Bharu mencatatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 577 mangsa daripada 160 keluarga yang berada di enam PPS.

Di Pasir Puteh, seramai 542 mangsa daripada 146 keluarga di enam PPS; Tanah Merah (196 mangsa daripada 52 keluarga di enam PPS); Bachok (180 mangsa daripada 40 keluarga di dua PPS) dan Machang 151 mangsa daripada 48 keluarga di empat PPS.

Hujan lebat secara berterusan juga menyebabkan enam jalan dinaiki air sejak pagi tadi di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Kuala Krai.

Jalan yang terjejas adalah Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang dekat Pasir Mas yang ditutup kepada semua kenderaan.

Empat jalan iaitu Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Ragu; Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung dekat Kampung Siram; Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah dekat Kampung Kubang Rambutan dan Jalan Lubok Jong-Bulatan Pohon Tanjung dekat Kampung Repek juga ditutup untuk kenderaan ringan

Jalan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang dekat Petron Laloh pula ditutup selorong kepada semua kenderaan akibat cerun runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 6:26 PM