ZAINUDDIN menunjukkan antara rangka motosikal yang dirampas daripada suspek. FOTO Sharul Hafiz Zam
Nor Farhani Che Ad


POLIS menumpaskan kumpulan jenayah Geng Belalang yang aktif dalam kegiatan jenayah samun berkawan dan curi kenderaan di sekitar Kuala Muda dan beberapa daerah berdekatan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata, tiga lelaki yang juga ahli kumpulan terbabit berusia 20 hingga 24 tahun itu ditahan antara 15 sehingga 22 November lalu.

“Semasa tangkapan dilakukan, polis merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang.

“Hasil soal siasat mendedahkan pembabitan mereka dalam kes curi motosikal dan kereta di daerah Kuala Muda dan sekitar Kedah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani, hari ini.

Beliau berkata, ekoran itu, pasukan polis menjalankan operasi dan menemui 20 rangka motosikal serta empat penutup atau ‘casing’ enjin motosikal di sebatang sungai di Tanjung Dawai, di Sungai Petani.

Selain itu, pihaknya turut menjumpai dan merampas dua rangka motosikal di belakang sebuah rumah di Baling.

“Enam daripada rangka motosikal dan satu ‘casing’ enjin motosikal adalah dilaporkan hilang, manakala selebihnya nombor casis dan nombor enjin sudah dicanai,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit menjalankan aktiviti jenayah sejak 2016 di daerah Kuala Muda, Yan, Kota Setar, Baling dan Kubang Pasu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 9:09 PM